Friday, April 3, 2009

Jalan Sunnah Hiasi Rumahtangga

Ketahuilah,bahawa rumahtangga ini adalah sebahagian dari fasa-fasa perjuangan yang harus kita jayakan bagi mencapai matlamat suci kita. Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam. Rumahtangga ini adalah obor bagi masyarakat Islam yang cemerlang. Oleh kerana ia adalah sebahagian dari perjuangan di atas jalan dakwah, maka ianya juga tidak akan terlepas dari sunnah jalan dakwah ini. Bahawa sunnah jalan dakwah ini daripada dulu, kini dan akan datang bukanlah jalan yang merehatkan. Ia bukan juga jalan yang dihampari oleh permaidani merah dan ditaburi oleh bunga-bunga yang indah. Ia adalah jalan yang penuh ujian dan kesulitan tetapi di hujungnya terdapat kemanisan. Maka tidak seharusnya kita merasa bersedih hati di kemudian hari atau merungut atas kesulitan dan ujian yang akan dihadapi walaupun berbeza kerjaya dan lapangan.

Oleh kerana ia adalah sebahagian dari perjuangan, maka kepentingan perjuanganlah yang akan mencorak rumahtangga ini baik diri penulis mahupun bakal pendamping kelak. Kepentingan perjuangan ialah kepentingan Islam dan masyarakatnya serta wadah perjuangan yang mendukungnya. Jika kita fahami apa yang dinyatakan tadi, maka tentulah diri kita terasa terlalu kerdil untuk memikul tugas ini. Hanya dengan bantuan Allah swt sahaja kita akan berjaya. Namun, sejauh mana Allah swt akan membantu kita adalah terletak pada sejauh mana kita mampu menepati segala kehendak-Nya. Justeru itu, kemungkaran adalah sesuatu yang asing dan sangat sensitif bagi rumahtangga ini kerana ia adalah penghijab bagi kita dari bantuan Allah Taala dan akan lebih menyukarkan jalan ini.

Bagi seorang mukmin, kecintaannya hanyalah kepada Yang Satu, cinta kepada Allah swt. Kalau dia harus mencintai yang lain, maka ia adalah cinta kerana Allah swt. Inilah ikatan yang akan mengikat hati kita, cinta kepada Allah dan bercinta kerana Allah swt. Semoga dengan ini kita akan digolongkan di dalam salah seorang daripada tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah Taala di padang Mahsyar kelak, lelaki dan wanita yang saling mencintai kerana Allah swt semata-mata.

Tanpa ikatan perkahwinan ini pun, hati kita pasti diikat dengan rasa ukhuwwah fillah, kesatuan fikrah dan matlamat dari satu wadah perjuangan (menegakkan agama Allah Taala) yang sama. Ikatan-ikatan ini sahaja sudah cukup untuk kita saling mengasihi antara satu sama lain. Begitu kukuh ikatan antara mereka yang mempunyai fikrah dan perjalanan hidup seumpama ini, dalam dambaan cinta-Nya.

“Adam as bangkit dari pembaringannya, memperbaiki duduknya. Dia membuka matanya, memperhatikan dengan pandangan tajam. Dia sedar bahawa orang asing di depannya itu bukanlah bayangan selintas pandang, namun benar-benar suatu kenyataan dari wujud insani yang mempunyai bentuk fizikal seperti dirinya. Dia yakin ia tidak salah pandang. Dia tahu itu manusia seperti dirinya, yang hanya berbeza kelaminnya saja. Dia serta merta dapat membuat kesimpulan bahawa makhluk di depannya adalah perempuan. Dia sedar bahawa itulah dia jenis yang dirindukannya. Hatinya gembira, bersyukur, bertahmid memuji Dzat Maha Pencipta.”

CINTA dalam Islam ialah untuk mereka memahami Islam dan tuntutan syariat, serta sentiasa berada dalam tarbiah, di samping tahu akan kehendak tuntutan fitrah suci manusia itu. Bukan sahaja manis dibibir tapi bersedia untuk mengambil si 'dia' sebagai pemaisuri hati untuk sama-sama melihat Islam menjadi kuat dan dihormati kawan mahupun lawan, dengan pelbagai cara terutama dalam meramaikan zuriat yang mampu mendokong perjuangan para syuhada' terdahulu. Kenal dengan cara mendalam (walaupun tidak menyatakan secara terus terang) merupakan kasih sayang yang suci kerana bimbang diri tidak boleh menahan gelojak nafsu yang sentiasa bersedia untuk menyerang. Inilah taaruf atau konsep cinta yang ditaja oleh Islam yang penuh berhati-hati dan menjaga kemaslahatan semasa. Para hukama' pernah bermadah;

Barangsiapa yang bercinta (dengan menjaga batasan dalam Islam dan untuk mencari keredhaan Allah swt semata-mata) dan bilamana mereka mati (semasa cinta masih bertaut) maka matinya itu dikira sebagai mati syahid."


~Sh@ring is c@ring~

No comments:

Topblogs @ iLuvislam Free Hit Counter