Friday, April 3, 2009

Pencarian Sebuah Potrait Cinta

Perkahwinan adalah suatu tuntutan dalam Islam. Antara perkara penting sebelum melangkah ke alam pernikahan ialah hal yang berkaitan dengan pencarian pasangan hidup kerana di sinilah cinta suci lagi halal akan dibina, untuk sama-sama merasai susah senang, jatuh bangun sebuah kehidupan berumahtangga demi melihat pemerkasaan benteng pertahanan Islam terus kukuh dengan lahirnya generasi zuriat sebagai pejuang menggalas kesinambungan para mujahid terdahulu. Rumahtangga tadi sekiranya dibina dengan tapak semaian keimanan, ketakwaan dan kasih sayang serta dipikul penuh amanah, sudah tentu akan bercambah biak kebahagian dalam melahirkan generasi yang soleh dan solehah serta jauh dari pergolakan amukan jiwa memberontak.

Islam telah menyediakan garis panduan yang lengkap kepada bakal-bakal suami dan isteri di dalam memilih pasangan hidup. Nabi pernah bersabda;

“Dinikahi perempuan itu kerana empat perkara, iaitu kerana hartanya, kerana kecantikannya, kerana keturunannya dan agamanya. Oleh itu, utamakan wanita beragama nescaya kamu akan beruntung.” (Hadith riwayat Muslim)


Apa yang dapat kita fahami, dari maksud hadith di atas ialah ciri-ciri yang paling baik dalam memilih calon bakal isteri iaitu mereka yang mempunyai pengetahuan dan beramal dengan ajaran agama. Mungkin pernah terlintas di benak hati kita untuk memiliki gadis yang memahami perasaan dan bersedia menyelami setiap pahit maung hidup seorang suami yang terpaksa bekerja keras dalam memikul amanah yang cukup banyak.

Pemilihan pasangan hidup tidak boleh dipandang ringan. Islam amat menekankan isu ini disebabkan kesannya di dalam kehidupan bermasyarakat dan keharmonian dalam negara adalah amat besar kerana jika pergaduhan dan penceraian di antara suami dan isteri akan mengakibatkan rumahtangga dan nasib anak-anak terumbang ambing. Jika demikian, bagaimana generasi pelapis negara dapat dilahirkan? Sudah tentu apa yang diharapkan ibarat “bermimpi disiang hari” semata-mata.

Tanggungjawab membentuk rumahtangga yang bahagia dan melahirkan generasi cemerlang amatlah berat. Justeru, keteguhan dalam pegangan agama suami isteri perlu dipertingkatkan agar kita lebih bersedia menghadapi ujian dan cabaran hidup berumahtangga. Allah Taala berfirman;

“Ketahuilah bahawa harta benda dan anak pinak kamu itu adalah ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah Taala jualah pahala yang besar.” al-Anfal (8:28)

Sehubungan dengan itu sebagai bakal ibu dan bapa kepada bakal anak-anak, kita hendaklah menyemai benih yang ditanam dalam hamparan semaian iman sejak kecil lagi agar bila mereka besar kelak akan bercambah biak padanya asas pengetahuan agama sekaligus melebar luas pada saksiah ruhiah dalaman yang mantap. Berikan mereka bimbingan dan panduan tepat tentang kehidupan berkeluarga agar anak-anak tahu dan faham tentang adab-adab pergaulan sesama manusia yang berlainan jantina. Mengawal dan mengurus perasaan cinta kepada orang lain yang bukan mahramnya serta batas-batas yang sesuai dengan ajaran agama. Mana mungkin sebuah kehidupan rumahtangga yang bercampur baur di antara ketaatan dan kemaksiatan dapat melahirkan generasi yang hebat lagi cemerlang sebagai penyambung zuriat keturunan. Nabi pernah bersabda;

“Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah iaitu suci bersih, kedua ibu bapalah yang akan mencorak (kehidupan) mereka sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Sebagaimana seekor ternakan melahirkan anaknya (dengan sempurna kejadian dan anggota). Apakah kamu menganggap hidung, telinga dan lain-lain anggotanya terpotong?”

Padahal cinta yang tulus mulus hendaklah bermula pada Dzat Maha Kuasa yang mencipta perjalanan darah yang unik sehinggakan menghasilkan perasaan cinta dan kasih sayang sebagai salah satu fitrah insani yang perlu dihayati dari hati jatuh ke hati. Dia tidak pernah mencerca hina para hamba-Nya walaupun di sana kemurkaan-Nya sangat jelas dan sensitif pada kemaksiatan yang dilakukan oleh sekalian hamba-Nya. Namun kasih sayang Allah Taala Maha adalah segala-galanya, mengatasi kemurkaan-Nya tatkala hamba-Nya sudi merafak sujud di keheningan malam syahdu mengharapkan keampunan dengan mengakui kesalahan dan melahirkan rasa penyesalan di atas kelalaian dalam memilih sebuah perjalanan yang diredhai-Nya. Allah Taala berfirman;

"Hai anak Adam, kamu tidak adil terhadap-Ku. Aku mengasihimu dengan kenikmatan-kenikmatan tetapi kamu membenci-Ku dengan berbuat maksiat-maksiat. Kebajikan Kuturunkan kepadamu dan kejahatan-kejahatanmu naik kepada-Ku. Selamanya malaikat yang mulia datang melaporkan tentang kamu setiap siang dan malam dengan amal-amalmu yang buruk. Tetapi hai anak Adam, jika kamu mendengar perilakumu dari orang lain dan kamu tidak tahu siapa yang disifatkan pasti kamu akan cepat membencinya." (Hadith Qudsi)

http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=1514

~sh@ring is c@ring~

No comments:

Topblogs @ iLuvislam Free Hit Counter